Isu Semasa

“Kelas pagi ini sangat sayu…” -Luahan pensyarah 5 pelajar rentung kemalangan

Nahas kemalangan ngeri yang mengakibatkan lima pelajar dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar meninggal dunia awal pagi tadi sememangnya mengejutkan ramai.

Mana tidaknya, kenderaan yang dinaiki oleh Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Chukai Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai, Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak terbakar selepas kereta Honda City yang dinaiki mereka mengekori treler  membawa muatan mozek dirempuh dari belakang oleh treler membawa besi.

“Berita sedih dan memilukan”

Susulan daripada itu, beberapa hantaran luahan dari kenalan di media sosial membuatkan ramai sebak terutamanya posting  daripada salah seorang pensyarah USAS apabila memuat naik suasana sewaktu di dalam kelas pada pagi ini memandangkan rakan-rakan masih terkejut dengan berita kemalangan tersebut.

Hantaran yang dibuat oleh Aida hartini Nantini Nan telah membuatkan ramai berasa pilu apabila memaklumkan yang tiga daripada 5 mangsa adalah muridnya.

“Terima berita sedih dan memilukan hati
Kematian 5 orang pelajar USAS dalam kemalangan di menora hgway utara selatan.
yang mana 3 daripadanya adalah pelajar ustazah
Kelas pagi ni sangat sayu
Kerana kawan2 masih terkejut dgn pemergian sahabat mereka,” tulisnya.

Tambahnya, ahli keluarga 5 sahabat itu ada yang masih dalam perjalanan untuk melakukan pengecaman di bahagian forensik Hospital Kuala Kangsar selepas mereka semua rentung memandangkan kenderaan yang dinaiki terbakar selepas pelanggaran.

Untuk makluman, Muhammad Nasrun dan Iqbal Hasun adalah pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam; Ahmad Naim Najmi (Sarjana Muda Kaunseling); Muhammad Nabil Haikal (Diploma Pentadbiran Perniagaan) dan Ahmad Akmal (Diploma Kaunseling Islami).

Difahamkan, semua pelajar itu sedang keluar kawasan atau ‘outing’ ke Ipoh menaiki kereta yang disewa memandangkan tiada kelas pembelajaran semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *