Info Isu Semasa

Hilang di Cheras lepas solat subuh, remaja lelaki ditemui di Kedah

Baru-baru ini, tular kisah mengenai seorang remaja lelaki, Muhammad Al Muizz Al Mawardi, 16, yang dilaporkan hilang selepas menunaikan solat subuh di Masjid Al Muqarrabin, Cheras pada hari Ahad 8 Mei 2022.

Anak hilang lepas solat subuh

Kehilangannya telah dikongsikan bapa kepada remaja berkenaan, Al Mawardi Mohamad menerusi media sosialnya bagi meminta bantuan orang ramai mengesan keberadann Al Muizz.

Sudah ditemui di Kedah

Walau bagaimanapun, menerusi perkongsian terkini Al Mawardi, dia memaklumkan yang anaknya sudah ditemui dan dalam keadaan baik-baik sahaja.

Dia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sudi berikhtiar bersama-sama untuk mengesan Al Muizz selepas panggilan telefon serta mesej daripada ahli keluarga tidak dibalas.

Ditemui selamat di rumah rakan

Menerusi laporan daripada Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, Muhammad Al Muizz Almawardi, 16, ditemui di sekitar daerah Pokok Sena di Kedah pada 11 Mei 2022 hasil maklumat dari orang awam.

Difahamkan remaja berkenaan dalam keadaan baik dan berada di rumah rakannya.

“Bertindak atas maklumat orang awam, pada 11 Mei kira-kira jam 9 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah pergi ke Pokok Sena, Kedah dan telah menjumpai remaja tersebut dalam keadaan baik di rumah kawannya.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, remaja tersebut dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengetahui sebab remaja itu boleh berada di tempat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Al Muizz, Nur Aliana Alias, 38, mengucapkan terima kasih kepada pihak media dan orang ramai kerana mendoakan keselamatan anaknya sehingga remaja berkenaan berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

“Syukur dia sudah ditemui, saya berterima kasih kepada pihak media yang membuat hebahan serta anggota polis yang banyak membantu. Tak terbalas jasa kalian semua,” katanya.

Walau bagaimanapun pihak keluarga tidak mendedahkan punca sebenar mengapa anaknya tidak pulang kerumah selepas menunaikan solat Subuh di di masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya di Bandar Tasik Selatan kerana enggan mengganggu siasatan pihak polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *